Monday, August 11, 2014

Ceritaku di Tahun 1




Gambar di atas adalah gambar yang diambil ketika aku di Tahun 1 pada tahun 2000. Kelas 1 Delima di Sekolah Kebangsaan Batu 9 Jalan Bomba Tanjong Karang

Entri ini ditulis bagi mengingatkan aku tentang siapa diri aku yang dahulu. Beberapa peristiwa suka duka mewarnai zaman kanak-kanakku.

Ini gambar kelasku. Bersama guru kelas, Cikgu Asmah Ibrahim. Sudah bersara pun guru ini. Cikgu yang mengajar aku Bahasa Melayu dan Matematik pada ketika itu. Lembut dalam tutur bicaranya, ada kalanya tegas dalam mendidik tentang akhlak.

Dalam gambar ini, hanya aku seorang sahaja yang memakai songkok. Masih segar diingatan, di hari pertama kelas, ada seorang murid bertanya kepada mama kenapa aku bersongkok? Aku tidak ingat jawapan mama apa akan  tetapi mama tersenyum. Itu adalah nilai yang ditanam sejak aku kecil lagi.

Gambar ini mengingatkan aku tentang harga sebuah kekurangan. Masih diingat waktu itu, belanja poket sekolah hanyalah 50 sen sehari. Cukuplah untuk membeli nasi lemak yag berharga 30 sen dan air minuman berharga 20 sen. Mana nak cari makanan semurah itu di kantin sekolah hari ini?

Aku masih ingat ketika itu, ketika pulang dari sekolah aku tidak berani meminta mama membelikan 'jajan' yang dijual di gerai berhampiran pagar sekolah. Aku tahu betapa sempitnya kehidupan ketika itu. Kalai pernah pun, mama yang 'offer' nak belikan aiskrim kon yang berharga 30 sen pada ketika itu. Usah membanding diri dengan anak-anak lain.

Gambar ini mengingatkan aku betapa payahnya untuk sampai ke sekolah ketika di Tahun 1. Menggunakan motosikal Suzuki lama yang dibeli secara secondhand, aku dihantar ke sekolah. Kadangkala, motor itu rosak menyebabkan mama terpaksa meminjam basikal jiran untuk menghantar aku ke sekolah. Itulah harga sebuah derita yang pelu dibayar demi menggapai pendidikan.

Bangganya untuk diceritakan, untuk peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun aku mendapat tempat pertama dalam kelas. Setiap kejayaan pasti menjadi kebanggaan mama.
Secara umumnya, semua bermula dari lembah. Aku bermula dengan serba kekurangan. Hari ini aku harus membayar harga sebuah derita itu. Bukan mudah untuk membina kejayaan kerana selut hitam perlu kita tempuh sebelum sampai ke pantai bahagia.

Aku tidak berani mempersoalkan kenapa waktu kecilku terjadi begitu setelah aku menikmati begitu banyak nikmat yang aku kecapi hari ini. Kemudahan dan kejayaan yang aku capai hari demi hari tak pernah diduga sama sekali sewaktu aku bertatih di usia kecil.

Kita tidak tahu sejauh mana kejayaan mahupun kekecewaan bakal kita tempuh di hadapan. Tapi, yakinlah selagi kita berusaha, derita yang kita alami pasti punya sisi yang bersempadan kemanisan.

Salam hormat dariku.
Salam Aidilfitri 1435
Maaf Zahir dan Batin