Wednesday, July 31, 2013

4 Tahun Dalam Kenangan: Satu Bingkisan Insan Agung

Salam Ramadan 1433H.

Esok 1 Ogos 2013, hari yang penuh dalam ingatan insan yang menulis entri ini. Sesungguhnya setelah 4 tahun masa berlalu ingatan itu masih segar dalam diri ini. Ketika itu, antara rela dan tidak diri ini menerima ketentuan takdir ini.

Ke hadapan allahyarhamah mama, semoga 4 tahun kepulanganmu ke pangkuan Ilahi menjadi titik memberi semangat kepada diri ini bukan titik putus harap kehidupan ini. Saat takdir sedang berbisik, percayalah hujan itu lebih indah bila bakal disusuli pelangi.

Merungkai kembali perjalanan waktu selama 12 jam kira-kira 4 tahun yang lalu…….

Detik 12 tengahari, Jumaat 31 Julai 2009, telefon bimbit berbunyi. Satu panggilan yang mengejutkan seluruh tubuh. Alyarhamah bonda sedang koma di Hospital Selayang. Dari pecan kecil Tanjong Karang, aku menaiki bas Selangor yang uzur ke stesen Kuala Selangor seterusnya menggunakan bas syarikat sama ke KTM Sungai Buloh.

Luluh benar hati ini. Sukar menerima kesalahan diri. Mama tersayang sudah lama terlantar sakit menghidap thymoma, satu ketumbuhan di bahagian trachea yang menyebabkan beliau sukar bernafas. Berbulan-bulan beliau di rumah bersama bekalan tong oksigen.

Hakikatnya, tinggal berjauhan dengan keluarga dan sibuk mengejar mata kokurikulum setiap minggu dengan pelbagai aktiviti menyebabkan aku tidak mempunyai masa untuk menjenguk dengan kerap. Ku sedar dank u akui itu silap dan salah ku dahulu.

Walaupun seminggu sebelumnya, aku bergegas pulang sebentar, semalaman buat menemani beliau, itu terlalu keterlaluan rasanya bagi seorang anak yang telah ditatang dengan kasih sayang oleh ibunya.

Di waktu itu, di wajah ibu, terpancar satu wajah yang secara tidak langsungnya memberitahu persekitarannya yang dia tidak bakal lama menghuni dunia ini. Sempat menyuap dadih ke mulut mama, itu tidak cukup membalas berbelas tahun pengorbanannya.

Jelas gerak di tubuhnya sudah mengurus dan tidak bermaya dek kerana kesan rawatan radioterapi. Dia berdiri tidak bermaya.

Beliau dimasukkan ke Hospital UKM pada pertengahan 2008 ketika aku di Tingkatan 3. Pembedahan dijadualkan pada September 2008 akan tetapi dek kerisauan akan terganggunya pembelajaran anak menghadapi PMR, ditundanya tarikh itu.

Disember 2009, pemebdahan dilakukan di hospital yang sama. Pemebedahan tidak berjaya sepenuhnya kerana berlaku banyak pendarahan. 2 minggu Unit CCU, HUKM dan 2 minggu di wad biasa bukan satu ketentuan yang mudah diterima.

Selepas 2 hari dikeluarkan dari wad, bondanya (alyarhamah nenek) pula pulang menyahut seruan Ilahi. Hati mana yang tidak luluh menerima ketentuan ini. 2 hari bertemu, sudah berpisah. Ibarat luka di tuang cuka, begitulah similinya.

Rutin 7 bulan berikutnya, berulang alik ke Hospital Selayang disebabkah jarak yang lebih dekat berbanding HUKM. Kadangkala ditahan di wad berminggu-minggu. Sudah tertulis di dalam makrifat begitu ketentuannya.

Berbalik kepada kisah 31 Julai, setibanya di KTM Sungai aku terus menaiki tren ke Kepong Sentral. Ada jiran menunggu membawaku ke Hospital Selayang. Hati hiba dan sayu sekali di petang Jumaat yang mulia itu.

Setibanya di hospital, yang tersedia ialah tubuh mama yang tidak sedar. Bacaan Yassin sahaja mampu ku lakukan buat menemani waktu-waktu kritikalnya. Kata-kata doktor mengilustrasi bagaimana hari esoknya.

Hati terlalu sayu. Memohon kepada Allah, berilah sedikit waktu untuk ku cipta bahagia. Namun apalah daya hamba menolak ketentuan-Nya, waktu beranjak ke puku 12 malam dan ketika itulah jua, Tuhan mengambil untuk bertemuNya di alam yang kekal.

Gambaran ketika itu, seolah kering air mata untuk dititiskan. Persiapan dilakukan untuk mengurus jenazah insan agung dalam hidupku ini. Jenazah akan dikebumikan keesokan paginya. Badan ku sudah tidak bermaya malam itu.

Keesokan harinya sebelum jenazah dibawa ke perkuburan, majlis tahlil ringkas diadakan. Air mata tak mampu diseka lagi. Tiada rasa malu untuk menangis di khalayak ramai. Tuhan mengetahui segalanya.

Hari ini, genaplah 4 tahun pemergiaan insane agung yang membawa aku ke tahap ini. Segala kejayaan yang ku miliki adalah satu ‘tribute’ untuk beliau yang tak sempat merasainya. Terlalu perit jalan yang kami laluinya sehingga sukar diungkap dengan kata.

Tiada galang gantinya insan yang bernama Aminah binti Juni ini. Tiada kata ucapan yang lebih tinggi untuk diucapkan melainkan Terima Kasih Mama mendidik tiga permata yang kini sudah meningkat dewasa ini.